Saturday, March 31, 2012

شيخنا الصوفى الورع الحاج عبد الرشيد الفطانى

       Maahad Dar al-Hadith terletak di tepi lebuh raya Menara-Patani, iaitu di kilometer 48(lebih kurang), sebelah kiri ke arah bandar Patani. Pondok ini telah diasaskan oleh al-marhum Syaikhuna Hj. Abd. Rasyid Carak Kerian pada akhir 70an atau awal 80an(?) selepas beliau pulang dari Makkah al-Mukarramah. Syaikhuna lama menuntut ilmu di Makkah iaitu selama 20 tahun dan ini menjadikan beliau orang paling lama belajar di Makkah berbanding rakan-rakannya yang lain. Jika kita andaikan beliau kembali ke tanah air pada akhir 70an, maka beerti pada penghujung tahun 50an beliau sudah berada di Makkah, tambahan pula, al-marhum ayahanda telah memberitahu saya suatu ketika dahulu bahawa dia(ayahanda) naik ke Makkah lebih awal daripada sepupunya itu ( syaikhuna).Allah Maha Mengetahui. Walaubagaimanapun, suatu perkara yang diyakini ialah syaikhuna tersebut sempat menuntut ilmu daripada Syeikh Abd. Qadir al-Mandili, al-alim al-allamah Tuan Guru Hj. Muhammad Din B. Hj. Yusuf al-Besuti, Tok Karim al-Banjari, Syeikh Mahmud Langsat al-Fatani( bidang tasawwuf), Syeikh Hasan al-Masyat(dalam bidang hadith) dan lain-lain lagi. Di samping itu, syaikhuna sempat menziarahi Pak Da Eil al-Fatani (usuluddin) dan menerima ijazah daripada Tok Peda(ilmu hakikat).
         
       Tuan Guru Hj. Abd. Rasyid terkenal alim tasawwuf dan hadith. Saya sendiri pernah melihat beberapa buah kitab tasawwuf dan hadith miliknya seperti Sahih Bukhari, Sunan Abu Dawud,Sunan Tirmizi, Syarah Hikam Tok Pulau Manis, Syarah Iqaz(syarah hikam oleh Ibn Ajibah),dan al-Manhal al-Safi, semuanya terdapat  taqrirat(suatu catatan) guru-gurunya semasa menuntut di Makkah. Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana diberi taufik meminjam daripadanya dua buah kitab hadith yang berjudul Syamail al-Muhammadiyyah dan Nailu al-Maram Syarah Umdatul Ahkam dan menyalin taqrirat gurunya ke dalam kitab Syamail dan Nailu al-Maram yang dipusakai daripada ayahanda. Tuan Guru Hj. Abdul Rasyid juga tidak kalah  dalam bidang feqh. Kitab Tahrir,Iqna', Fathul Wahhab, Syarah Mahalli(syarah Minhaj), Siraj al-Wahhaj(syarah Minhaj), Syinsyauri(kitab besar dalam cabang Faraidh) malah Mughni al-Muhtaj(syarah Minhaj) turut dipelajarinya. Jika diperhatikan kepada kitab-kitab feqh ini, nampaknya kealimannya dalam bidang feqh sukar ditandingi kerana jarang kita  kedengaran tok-tok  guru pondok mutakhir ini  mempelajari kitab-kitab besar seperti Mughni Muhtaj. Manakala dalam bidang usuluddin, tafsir dan ilmu-ilmu alat sengaja saya tidak membicarakannya dalam entri ini. Cukup saya tegaskan di sini bahawa betapa banyaknya dan tekunnya syaikhuna dalam menuntut ilmu, sekiranya semua kitab yang dipelajarinya di Patani dan Makkah diajar kepada murid-muridnya nescaya memakan masa lebih 30 tahun.

Rakan-Rakannya

       Oleh kerana terlalu lama menuntut di Patani dan Makkah maka tersenarailah nama beberapa rakannya sebagaimana berikut:

1)al-Marhum Tok Ayah Kob(pupunya)
2)al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdullah Porkil, Menara
3)al-Marhum Tuan Guru Hj. Husein Telok Merbok, Jala.
4)al-Marhum Tuan Guru Hj. Yaakub Kelong, Tumpat(seniornya)
5)al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdullah Lubuk Tapah, Pasir Mas
5)Tuan Guru Hj. Abd. Rahim Aur Cina, Pasir Mas(juniornya)
 (akan dikemaskini, insyaallah)

Akhlak Dan Budi Pekertinya

     Syaikhuna seorang yang bertubuh sederhana, berkulit cerah, bersuara "sedap" dan termasuk dalam kategori orang "smart" pada zaman mudanya. Beliau tidak suka bercakap banyak melainkan hal-hal yang berkaitan dengan ilmu, merendahkan diri dan sangat menjaga mata daripada melihat perempuan, sesuai  dengan gelaran yang diberikan kepadanya iaitu Baba Sid Wara'. Sebenarnya sifat wara' ini telah lama sebati dengan jiwanya yang luhur. Ketika belajar di pondok Tuan Guru Hj. Hasan Monggol, beliau sudah pun dikenali sebagai orang tidak banyak bercakap dan berkat. Bagi saya yang sempat belajar di penghujung usianya  ingin menjelaskan kepada para  pembaca yang budiman bahawa perangai Baba Sid Wara' sudah cukup untuk menghuraikan kitab syarah Hikam Tok Pulau Manis. Modahan Allah memberi menfaat kepada dengan ilmu dan barakahnya. Amin. al-Fatihah......

                
       Sebahagian daripada pondok Maahad Dar al-Hadith


       
                      
           

Tuesday, March 20, 2012

Zahrat al-Murid

      Sebuah lagi karya melayu dalam bidang akar umbi agama iaitu Zahrat al-Murid. Hari ini, kitab ini berkemungkinan jarang-jarang dijadikan teks pengajaran di pondok-pondok Patani. Sepanjang saya belajar di pondok Tuan Guru Hj. Ismail Sepanjang dan pondok al-marhum Tuan Guru Hj. Abd Rashyid Carak Kerian suatu ketika dahulu, tiada seorang pun yang mengajar Usuluddin berpandukan kitab ini termasuk tuan guru sendiri. Sungguh pun begitu, pengarangnya adalah seorang ulama besar yang tersohor di Nusantara dan banyak melahirkan ulama-ulama pondok pelapis. Beliau ialah Syeikh Muhammad Ali B. Abd. Rahman B. Abd. Ghafur, Kutan, Kelantan(Tok Wan Ali Kutan).
      

Friday, March 16, 2012

Khulasah al-Jawahir

Nama lengkap kitab ini ialah Khulasah al- Jawahir Fi Tasfiah al-Khawatir, karya Tuan Guru Hj. Muhammad (gelar Hj. Sulong) B. Abdul Qadir B. Muhammad al-Fatani. Tarikh selesai mentabyidhnya(تبييض )pada malam Ahad, 24 Muharram 1346H di Makkah al-Mukarramah. Kitab setebal 36 m/s (termasuk kulit depan), cetakan Matbaah al-Ahmadiyah Singapura pada tahun 1346H ini, memulakan bicaranya tentang nafi dan isbat yang terdapat pada kalimah                       لا اله الا الله    Kemudian diikuti oleh perbahasan pertama tentang pengertian usaha menurut beberapa pandangan ulama'. Dalam perbahasan kedua, pengarang memuatkan pula pengertian ikhtiyar dan hubung kaitnya dengan usaha. Beliau berkata pada m/s 15 " dan ini ikhtiyar lain daripada usaha dengan tiada khilaf dan tetapi adalah ia melazimkan bagi usaha. Maka barangsiapa mengisbatkan usaha nescaya mengisbat ia akan ikhtiyar yang zahiri dan yaitu perkataan ahlu sunnah dan barangsiapa menafikan dia nescaya menafi ia akan ikhtiyar yang zahiri dan yaitu perkataan kaum Jabariyah....." Dalam khatimahnya, pengarang membahagikan mereka yang mengiktiqadkan segala sebab yang beradat kepada empat puak.