Tuesday, January 5, 2010

Biodata Ulama Kaum Tua di Kelantan

MUQADDIMAH

Ulama’ Kelantan yang beraliran Syafi’e sejak kedatangan Islam ke negeri ini adalah terlalu ramai dan mereka merupakan golongan majoriti. Namun begitu, dalam kajian ini penulis hanya akan menyelidiki beberapa tokoh Kaum Tua Kelantan yang bermustautin atau menetap lama di Kelantan serta banyak memberi sumbangan di negeri Kelantan sendiri. Manakala ulama’- ulama’ Kaum Tua Kelantan yang bergiat di luar Kelantan seperti Mufti Perak Hj. Wan Muhammad Wan Husein, Mufti Johor Dato’ Hj. Abdullah Musa, Syeikh Uthman Jalaluddin al- Kelantani, Syeikh Daud Sulaiman al- Kelantani Syeikh Abdul Rahim Idris al- Kelantani, dan lain- lain lagi, maka penulis tidak akan menyentuhnya kerana ianya terkeluar daripada tajuk kajian ini, walaupun sumbangan mereka dalam mempertahankan aliran Kaum Tua sangat besar dan bernilai.

Begitu juga dengan ulama’- ulama’ Kaum Tua Kelantan yang hanya menentang fahaman Kaum Muda dalam sesi pengajaran mereka di pondok- pondok atau mengambil sikap berdiam diri sebagaimana yang telah dilakukan oleh Tok Kenali, maka penulis juga tidak akan membincangkannya di sini. Oleh itu, ulama- ulama’ Kaum Tua Kelantan yang akan diperkenalkan dibawah ini telah dipilih oleh penulis berdasarkan kepada penglibatan mereka secara langsung di Kelantan dalam menentang fahaman Kaum Muda secara terbuka samada melalui sesi perdebatan atau penulisan. Begitulah sebaliknya dengan pemilihan beberapa tokoh Kaum Muda Kelantan, maka ianya berdasarkan kepada kriteria yang sama.

TOKOH – TOKOH KAUM TUA

1. Mufti Kelantan Imam Nik Wan Daud Bin Wan Sulaiman

Hj. Nik Wan Daud bin Wan Sulaiman lahir di Kota Bharu, kira- kira tahun 1855M. Beliau merupakan Mufti yang pertama dan Imam Tua Masjid Kayu,Kota Bharu yang ke- 4 sezaman dengan Tok Imam Hj. Che Samat Kg. Laut, Tok Kemuning Tua dan Pak Cik Musa.
Pada 14 Ogos 1894 beliau mewakili Sultan Mansur membeli rumah putih tiga tingkat kepunyaan Syeikh Muhammad Salleh al- Kurdi di Mekah untuk dijadikan rumah wakaf kepada anak- anak Kelantan yang belajar di sana. Beliaulah tokoh Kaum Tua yang mula- mula berdebat dengan Hj. Wan Musa pada 24 Mei 1904. Kembali ke Rahmatullah pada 4 November 1907 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Banggol. Jenazahnya turut diziarahi oleh Raja Kelantan Muhammad dan adindanya, Raja Muda.


2. Mufti Kelantan Hj. Ibrahim Tok Raja

Hj. Ibrahim b. Hj. Muhammad Yusuf lahir di Kampung Banggol, Kota Bharu pada tahun 1871M. Sebelum berangkat ke Mekkah beliau telah berguru dengan ayahndanya sendiri Hj. Yusuf b. Muhammad Saleh dan Hj. Abdul Malek Sungai Pinang .
Di Mekah pula beliau berguru dengan Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Ahmad al- Fatani dan Syeikh Hasbullah al- Makki. Sekembali dari Mekkah, beliau tinggal di Kampung Atas Banggol, kemudian berpindah ke Taman Sekebung Bunga dan akhir sekali beliau menetap di Penambang, Kota Bharu. Beliau terkenal alim dalam disiplin Fiqh dan Tasawwuf. Hj. Ibrahim pernah memegang jawatan Guru Besar di Sekolah Melayu Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu pada tahun 1917. Kemudian pada tahun 1927 beliau menjadi Mufti Kelantan, mengganti Allahyarham Hj. Idris Hasan sehingga tahun 1941. Semasa hayatnya beliau telah menghasilkan dua buah karya iatu Jiwa Amalan dan Fawaid al- Dunya Wa al- Akhirat.Ayahnda kepada Dato’ Mufti Hj. Mohd Nor ini, akhirnya meninggal dunia pada tahun 1955 dan jawatan Mufti Kelantan dipangku oleh Dato’ Hj. Ahmad Maher Hj. Ismail.

3.. Hj. Ahmad Mannan

Setakat ini, semua penulis tidak menyebut tempat kelahiran Hj. Ahmad dan tarikh lahirnya dengan tepat. Menurut Ismail Che Daud, beliau meninggal dunia pada tahun 1938 dalam usia 62 tahun. Dengan ini, beliau diperkirakan lahir pada tahun 1876M, iatu lima tahun lebih muda daripada gurunya, Tok Kenali. Setelah belajar di Kelantan dengan guru- guru majhulnya , beliau berangkat ke Mekkah untuk mendalami ilmu- ilmu Islam di sana. Di antara guru- gurunya yang dapat dikesan semasa menuntut di Mekkah ialah Pak Cik Musa, Syeikh Muhammad Syafi’e Kedah dan Tok Kenali.Selepas pulang ke Kelantan, beliau mengajar di Kampung Kubang Pasu, Kota Bharu disamping mengajar di Masjid Muhammadi pada waktu pagi. Di antara murid- muridnya yang dapat dikenalpasti ialah Hj. Ahmad Maher, Hj. Nik Wan Abdullah Khatib dan Hj. Mat Melaka bin Hussien.
Selain mengajar, beliau turut menjadi ahli Majlis Agama Islam Kelantan dan ahli Jawatankuasa bagi merangka undang- undang Madrasah Muhammadi al- Arabiah. Beliau juga terlibat secara langsung dalam perbahasan dengan Kaum Muda pada 5 Januari 1937 bersama- sama Hj. Abdullah Tahir dan lain- lain lagi.

4. Hj. Yaakub Legor

Nama lengkapnya ialah Hj. Yaakub bin Ismail bin Abdul Rahman, lahir pada hari Juma’at dalam bulan Mac 1892 di pekan Melayu Ban Mai Telak Keak, Legor, Thailand. Sungguhpun bukan dilahirkan di Kelantan, tetapi beliau belajar dan berkahwin di Kelantan serta banyak memberi sumbangan kepada masyarakat Islam tempatan.
Sebelum berhijrah ke Kelantan, Hj. Yaakub belajar kepada Hj. Ibrahim Bendang Guchil, Patani. Di sini beliau menghabiskan umurnya selama empat belas tahun dan berjaya menjadi guru penolong Pondok Bendang Guchil. Pada tahun 1913 beliau bertolak ke Kelantan dan belajar kepada Tok Kenali selama lima tahun pula. Seterusnya beliau diberi tugas mengajar di Masjid Muhammadi di samping Tok Kenali dan lain- lain ulama’ besar di zamannya.
Selain mengajar, beliau juga dilantik menjadi anggota Jama’ah Ulama’ Majlis Ugama Islam Kelantan dalam tahun 30an. Selepas berkhidmat tujuh belas tahun sebagai guru di Masjid Muhammadi, maka pada 1 September1936 beliau bersama- sama anak lelakinya Hj. Hussein mula bercuti dan berangkat ke Tanah Suci Mekkah. Dari Mekkah beliau terus ke Legor setelah mendapat tahu bahawa pengajaran di Masjid Muhammadi mulai merosot akibat keadaan dunia sedang berada di ambang peperangan. Sejak itu, beliau menetap di Legor lalu membuka pondok di sana pada tahun 1939 dan mengajar sehingga beliau kembali ke Rahmatullah pada hari Ahad, 20 Jun 1971.

5. Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong

Hj Abdullah Tahir dilahirkan di Pengkalan Leser Kampung Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Sesudah berguru selama 15 tahun kepada Tok Kenali, maka pada tahun 1926 beliau belayar ke tanah suci Mekah untuk mendalami pengajiannya. Di antara gurunya di Mekkah ialah Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Said al- Yamani, Syeikh Mohd. Ali al- Maliki dan Syeikh Muhammad Ismail al- Fatani.
Ketika berada di Mekkah Hj. Abdullah Tahir banyak memberi tumpuan kepada bidang Fiqh dan Usulnya. Oleh itu , beliau telah memilih beberapa ulama’ besar yang terhandal dalam bidang tersebut pada ketika itu. Daripada mereka inilah, Hj. Abdullah Tahir sempat belajar kitab Jam’ul al- Jawami’, al- Furuq, Fathu al- Jawad, Syarah al- Raudh, al- Minhaj, Mughni al- Muhtaj, Ihya’ Ulumuddin, al- Mahalli, Fathu al- Wahhab dan al- Iqna’. Melihat kepada kitab- kitab yang dipelajari oleh beliau, maka layaklah Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir ini digolongkan dalam ulama’- ulama’ fiqh al- Syafi’e Kelantan yang paling handal di zamannya. Malah, beliaulah benteng pertahanan Mazhab Syafi’e setiap kali berlakunya pertikaian pendapat dengan Kaum Muda.Setelah pulang ke Kelantan, maka di atas permintaan Dato’ Perdana Menteri. Kelantan Hj. Nik Mahmud beliau telah bertugas mengajar Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada tahun 1931, beliau memulakan kegiatan keguruan di pondoknya sendiri di Bunut Payong yang diberi nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok Semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang terulung selepas Pondok Tok Kenali.
Di antara muridnya yang terkenal ialah al- Marhum Tuan Guru Hj. Nor Teliar, Tuan Guru Hj. Abdul Aziz Pasir Tumbuh, Tuan Guru Hj. Mustafa Pasir Tumbuh dan al- Marhum Tuan Guru Hj. Husain Rahimi. Selain mengajar, beliau juga memegang beberapa jawatan penting seperti Yang DiPertua Jabhat al- Diniah al – Islamiah, Anggota Jama’ah Ulama’ dan Anggota Jawatankuasa Pengadil di Mahkamah Kelantan.
Menurut Yusuf Zaki Yaakub, Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir sempat mengarang beberapa buah risalah ringan. Antara yang dapat dikesan ialah yang bertajuk Bekal Di Kapal Dan Doa Arafah selesai disusun pada 10 Syaaban 1371 bersamaan 10 Mei 1952.
Kematian fuqaha' ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuwan yang menerangi budaya ilmu dan da’wah Islamiyyahnya.

6. Dato’ Hj. Ahmad Maher

Menurut Dato’ Mufti Hj. Md. Nor Ibrahim tokoh ini dilahirkan pada November 1904. di Ma’ala, Makkah. Kira- kira umur sebelas tahun beliau dibawa kembali ke Kelantan dan berguru dengan Wali Allah tersohor Tok Kenali, Hj. Ali Pulau Pisang dan lain- lain. Sebelum melanjut pengajiannya di Makkah, beliau terlebih dahulu menyambung pelajarannya ke Mesir dan sempat belajar kepada Bekas Mufti Mesir Syeikh Muhammad bin Bakhit al- Hanafi. Setelah berpuas hati belajar di Mekkah, maka pada tahun 1931 Hj. Ahmad Maher pulang ke Kelantan. Tidak lama kemudian, pada 1 Julai 1931 beliau dilantik menjadi Nazir Pelajaran Majlis Ugama Islam Kelantan. Kemudiannya, beliau dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia al- Sultan Kelantan sebagai salah seorang penggubal undang- undang Madrasah Muhammadiah. Selain itu, Hj. Ahmad Maher juga dilantik sebagai Ketua Pelajaran pada tahun 1934 dan Qadhi Besar Negeri Kelantan pada tahun 1935. Setelah kira- kira empat tahun memegang jawatan Qadhi Besar beliau dilantik menjadi Mufti Khas kepada DYMM al- Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad ke- 4 dan sebagai guru khas kepada YTM Tengku Kembang binti Sultan Muhammad ke- 4.
Pada tahun 1941, Hj. Ahmad Maher telah dilantik sebagai pemangku Mufti Kerajaan Kelantan dan pada 1 Januari 1945 beliau telah ditetapkan dalam jawatan itu sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1968.

7. Hj. Mat Pauh

Nama lengkapnya ialah Tuan Guru Haji Muhammad bin Idris al- Syafi’e al- Jambuwi. Beliau terkenal juga dengan gelaran Abu Abdul Aziz. Hj. Muhammad dilahirkan di Kampung Pauh, Kota Bharu sekitar tahun1905.
Pada mulanya beliau berguru kepada Tok Kenali setelah lama belajar di Masjid Muhammadi. Beliau berdamping dengan Tok Kenali selama dua belas tahun. Namun beliau masih belum berpuas hati, lalu disambumgkan lagi pelajarannya di Makkah selama lima tahun. Ketika di Makkah beliau telah berjaya menguasai kitab- kitab penting seperti Mahalli, Fath al- Wahhab, Sahih Bukhari, Muslim, Muwatta’ dan sebagainya.
Setelah kembali dari Makkah, beliau telah membuka pondok di Pauh, Panji dan berjaya mengembangkannya sehingga menjadi 100 buah pondok. Keadaan Pondok di Pauh itu kekal sehingga tahun 1940. Dalam masa pemerintahan Jepun beliau berpindah ke Jambu, Kota Bharu. Di sini Hj. Muhammad mengajar mengikut sistem persekolahan dengan mengadakan tiga kelas waktu malam dan tiga kelas waktu siang.Hj. Muhammad merupakan salah seorang ulama’ besar Kelantan, berfahaman lama dan begitu cenderung kepada Mazhab Syafi’e. Dalam karyanya al- Qaul al- Mufid beliau menyebelahi pendapat yang menyokong permasalahan talqin, tunggu kubur, kenduri arwah, melafazkan Usolli, berdiri ketika berselawat, tawasul dan sebagainya. Beliaulah salah seorang yang mempertahankannya jika terdapat serangan dari golongan Kaum Muda yang berfahaman sebaliknya. Selain bahasa ibundanya, Hj. Muhammad juga berkebolehan mengarang dalam Bahasa Arab. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau telah berjaya menta’liq sebuah karya Arab yang berjudul Kitab Fi Bayan Istilah al- Imam Nawawi karangan al- Habib Ahmad bin Abu Bakr bin Abdullah.Hj. Muhammad seorang ahli fiqh yang kuat berpegang kepada Mazhab Syafi’e. dan pernah menjadi pakar perunding peribadi kepada Mufti Hj.Ahmad Maher. Dengan ini, Majlis Agama Islam Kelantan telah melantik beliau menjadi anggota Jema’ah Ulama. Jema’ah ini diwujudkan untuk mengeluarkan fatwa- fatwa yang berkaitan dengan isu semasa.Setelah berkhidmat kepada Islam dengan cemerlang dengan menghasilkan beberapa karya penting dan banyak melahirkan ulama’ dari kalangan muridnya, beliau akhirnya meninggal dunia pada 1 Disember 1973.

8. Hj. Abdul Rahman Sungai Durian

Nama lengkapnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Beliau lebih dikenali dengan panggilan “Ayah Haji”. Beliau dilahirkan di Kg. Kenor, Kuala Krai, Kelantan pada tahun 1923.Pada 5 Julai 1938, Tuan Guru belajar di Pondok Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang.Pondok ini ditadbirkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Jalal bin Abdul Raof dan dibantu oleh Haji Hussain bin Abdul Samad. Setelah belajar di Pondok Paloh Rawa, beliau berguru kepada Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Kadir selama enam bulan sahaja, Tuan Guru Haji Wan Yusuff bin Che’ Tengah selama setahun, kemudian belajar kepada Tuan Guru Haji Mohd. Nor bin Abdullah. Pada tahun 1949 pula beliau menyambung pengajiannya di Pondok Manabi‘ul Ulum, di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Di sana beliau menerima pendidikan dari seorang ulama terkenal iaitu Syeikh Uthman bin Jalaluddin al- Kelantani. Selama dua tahun berada di Pondok Manabi`ul Ulum, Bukit Mertajam, beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajian yang lebih tinggi di Mekah. Pada tahun 1951 ketika Tuan Guru Haji Abdul Rahman berusia 27 tahun beliau telah pergi ke Mekkah dan belajar di Madrasah Dar a1- Ulum al- Diniyyah dan di Masjid al- Haram selama tujuh tahun. Guru- gurunya di Mekkah ialah Syeikh Muhammad Daud bin Sulaiman al- Kalantani, Syeikh Abdul Kadir Abdul Muttalib al- Mandili al- Indonesi, Syeikh Muhammad Yasin Isa al- Fadani al- Makki,Pak Da ‘eil al- Fatani, Syeikh Zakaria Bilal, Syeikh Hassan Muhammad al- Masyat, Syeikh Hasan al- Yamani, Sayyid Abbas bin ‘Alawi al- Maliki, Syeikh al-‘Arabi al- Idrisi al- Maghribi, Syeikh Muhammad Amin al- Kutbi dan Syeikh Noor Saif al- Bahri.Setelah pulang ke Kelantan, maka pada 4 Jun 1958 beliau telah membuka pondoknya di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai dan mengajar di situ sehingga ke akhir hayatnya.Pada l0 Julai 1968, beliau telah menerima Pingat Bakti (P.B) dari Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan. Semasa hayatnya beliau pernah dilantik menjadi ahli anggota ulama‘ Majlis Ugama Islam Kelantan dan merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pengasas penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri pada tahun 1965.Selain mengajar, beliau juga mempunyai bakat dalam bidang penulisan. Antara hasil tulisan beliau semasa hayat ialah “ Lawatan Ke Timur Tengah ”, “ Jadual Dua Kalimah Syahadah” dan “ Jadual al- Kalam.” Beliau kembali ke Rahmatullah pada hari Ahad tepat pada pukul 8.40 malam, 20 Februari 1988 di hadapan isteri, anak-anak dan keluarganya. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pondok Sungai Durian.

3 comments:

  1. Aslmkm.Sya amat nak tau tentang moyang saya almarhum pak cik musa.
    Tiada sikit pun kisahnya walau beliau antara ulama masjidil haram Dan tok kenali juga antara muridnya.setau says beliau halau dgn klewang pelukis yg do hantar british di surau kg.menuang.

    ReplyDelete
  2. Beliau juga pengasas masjid muhammadi

    ReplyDelete