Saturday, August 4, 2012

Wali Majzub Di Sisi Syeikh Ahmad al-Fatani

    Memandangkan saya sendiri masih lagi tidak mengerti tentang istilah "jazbah"atau "majzub" yang banyak diperkatakan dalam kitab-kitab Tasawwuf dan perbezaan di antara wali  majzub dan orang gila, maka terdetik dalam hati saya untuk membuka beberapa lembaran kitab al-Fatawa al-Fathoniyyah bagi al-Alim al-Allamah al-Mufassir al-Lughawi al-Nawhi al-Mu'arrikh Syeikh Ahmad al-Fatani al-Makki al-Fatani, wafat 1325H.( Beliau ialah guru bagi Tok Kenali,Tok Selehor, Tok Kemuning, Tok Bachok, Tok Pulau Ubi, Tok Guru Kok Geting, Tok Bermin dll.) Kitab ini mengandungi fatwa-fatwa Syeikh Ahmad al-Fatani dalam 3 cabang ilmu(Usuluddin,Fiqh dan Tasawwuf). Di penghujung kitab ini dimuatkan satu soalan daripada Raja Negeri Kelantan tentang seorang Syeikh Tarikat(Ahmadiyah:pen) yang bernama Syeikh Said Linggi, murid kepada Syeikh Muhammad al-Dandarawi r.a . Syeikh ini telah memimpin Tarikat Ahmadiyah dan banyak murid beliau(dewasa, kanak-kanak, lelaki dan perempuan)telah menjadi majzub dalam masa yang singkat. Akhirnya dengan merendahkan dirinya, Syeikh Ahmad al-Fatani menjawab persoalan tersebut dengan panjang lebar di atas 40 muka surat berserta hujah-hujah daripada al-Quran dan hadith Nabi. Beliau juga banyak menuqilkan perkataan-perkataan ahli sufi dan mentatbiqkan beberapa kaedah ulama. 
    Oleh itu, dalam entri ini saya cuba ringkaskan fatwa tersebut dan saya berusaha memerahkan fikiran untuk permudahkan aturan perkataannya supaya mudah difahami. Maka, sekiranya terdapat kecacatan dalam ringkasan ini dan dirasakan tidak sempurna maksudnya, hendaklah kembali kepada kitab asalnya iatu al-Fatawa al-Fathoniyyah.
Berkata Syeikh Ahmad al-Fatani r.a;
  Bermula yang hamba fahamkan daripada segala kitab tasawwuf bahawa MAJZUB ada 4 pengertian:
1) Orang majzub yang ditarik oleh Allah Taala kepada beberapa hal yang mulia dan kepada beberapa maqam yang tinggi dalam suatu tempoh yang singkat serta dilenyapkan aqalnya. Lalu orang ini dapat sampai kepada segala hal dan maqam tersebut dalam masa yang singkat. Bandingannya seperti orang menaiki keretapi express dalam tempoh tiga hari untuk perjalanan biasa yang mengambil masa 30 hari. 
2) Orang majzub seperti bahagian pertama tetapi dikembalikan dia kepada sedar dan diturunkan daripada satu maqam kepada satu maqam salikin. Maka pada ketika turunnya kepada satu maqam itu, dia berjumpa orang salik yang sedang menaiki maqam.
3) Majzub yang tidak dilenyapkan aqal sama sekali.
4) Orang salik yang majzub. Ertinya sesetengah ketika, seorang murid dilenyapkan aqal oleh Allah Taala. Kemudian kata Syeikh Ahmad al-Fatani:" Seseorang tidak boleh berkata: "Jazbah dan sampai kepada segala hal dan segala maqam itu hanya bagi orang alim sahaja kerana ulama telah mengeluarkan kaedah (( Tiada mengambil Allah Taala akan wali yang jahil))" kerana kaedah tersebut sedang membicara tentang murid iatu salik(bukan majzub). Adapun majzub maka yang zahirnya tidak disyaratkan orang alim sebagaimana tidak disyaratkan lelaki dan sampai umur kerana umum firman Allah(( الله يجتبى من يشاء )). Lagi pula tidak mustahil Allah kurniakan orang jahil tatkala dijazbahkan dia akan ilmu yang mengesahkan amalnya dan mumkin Allah Taala kurniakan ketika itu suatu perkara yang membawa akan dia kepada taubat nasuha seperti menqadhakan solat yang luput dengan segera selepas dia sedar dari jazbahnya atau membangkitkan dia atas belajar segala ilmu fardhu ain selepas dia sedar.  
    Syeikh Ahmad al-Fatani(wafat 1325H) menambah lagi; " Manusia telah menggunakan juga kalimah "majzub" kepada orang yang menjerit dengan kalimah Jalalah(Allah) atau lainnya. Jika perkara ini berlaku dengan sebab kedatangan hal yang sebenar atasnya serta berlaku dengan ketiadaan sedar maka orang ini mungkin termasuk dalam bahagian pertama atau kedua atau keempat yang tersebut. Sebaliknya jika perkara ini(menjerit)dalam keadaan sedar tetapi berlaku secara terkerasi(tidak dapat dielakkan) seperti orang bersin maka orang ini termasuk dalam bahagian ketiga yang tersebut. Dan jika berlaku dengan sengaja dibuat-buat atau dengan warid syaithoni(kedatangan yang tidak sebenar) maka dia bukan orang majzub." Tambah beliau lagi; " Kadang-kadang manusia menggunakan perkataan "majzub" kepada sesetengah orang gila yang dirasuk syaitan atau jin,lalu terbitlah daripada orang gila itu sesetengah perkara pelik-pelik yang luar biasa. Hal ini boleh terjadi juga kepada seorang murid yang berada di bawah asuhan syeikhnya sedangkan syeikhnya itu bukan murabbi yang layak. Maka murid ini bukan majzub(majzub muktabar) kerana terkadang difitnahkan murid tersebut dengan beberapa rahsia dan perkara-perkara ajaib, lalu dia menyangka dirinya mempunyai kelebihan dan hasil daripadanya riya', ujub dan takabbur. Murid ini telah dikuasai oleh syaitan yang menyesatkan dia sehingga dia jadi gila atau kafir dan mendakwa dirinya menjadi guru mursyid, maka dia menyesatkan orang yang mengikutinya. ((Aku memohon kepada Allah al-Karim bahawa melindungi kami dan menyelamatkan kami daripada itu)." 
     Terkadang manusia menggunakan perkataan "majzub' terhadap sesetengah orang gila atau bingung yang disebabkan oleh semata-mata kecederaan mizajnya atau daripada asal kejadiannya(penyakit asal) dan terbuka baginya beberapa perkara ghaib dengan ketiadaan campur tangan daripada syaitan dan jin. Maka orang ini, barangkalinya hampir dengan orang majzub(majzub muktabar) kerana sunyinya daripada maksiat dan jika dia tidak mencapai segala maqam yang tinggi sekali pun, bahkan sesetengah orang gila itu boleh mencapai maqam kewalian. Berkata Sayyidi Abdul Qadir(al-Jailani?)     إن لله تعالى عبادا عقلاء ومجانين والعقلاء خير من المجانين اوكما قال  Ertinya "Bahawasa bagi Allah Taala beberapa hamba yang beraqal dan yang gila. Dan yang mempunyai aqal itu terlebih baik daripada yang gila. Bahkan seorang Qadhi telah melihat seorang lelaki yang telah diiktikadkan oleh manusia sebagai tempat buang sampah-sampah dan tahi-tahi kering. Lalu Qadhi itu berkata dalam hatinya bahawa manusia yang mengiktikadkan lelaki ini sebagai tempat buang sampah sesungguhnya kurang aqal. Maka lelaki itu menyerunya: "Wahai Qadhi! Adakah kamu telah meliputi pengetahuan Allah Taala?" 'Tiada." Sahut Qadhi itu. Maka berkata lelaki itu " Akulah sesetengah daripada ilmu Allah Taala yang tiada meliputi oleh segala aqal." Di sinilah dapat diketahui bahawa sesetengah orang gila dapat mencapai maqam yang tinggi di sisi Allah Taala kerana perkataannya menunjuk kepada hikmah dan haqiqat rabbaniyyah. Ini berbeza dengan murid(salik) yang gila atau guru gila yang disebabkan oleh ketiadaan beradab dengan adab syariat dan haqiqat(misalnya guru tidak cukup syarat untuk mentarbiyah salikin atau cenderung nafsunya kepada menunjukkan kelebihan diri atau ada ujub dan takabbur: pen). Maka orang gila ini tidak muktabar(malah menyesatkan pengikutnya:pen)dan jika keluar daripadanya beberapa perkara pelik sekalipun(yakni tidak muktabar juga:pen) kerana barangkali syaitan bermain-main dengannya."

No comments:

Post a Comment