Sunday, July 22, 2012

Fidyah Solat (1)

الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

Pendahuluan
       Sesuai dengan salah seorang pengamal mazhab ahlu sunnah wal jamaah, kita meyakini bahawa ijtihad- ijtihad ulama ahlu sunnah wal jamaah adalah berdasarkan kepada dalil-dalil muktabar yakni bukan kerana menurut nafsu, fanatik dan sebagainya. Alasannya ialah ijtihad- ijtihad yang mereka hasilkan telah melalui satu metode penyelidikan yang sangat kemas dan jitu. Ini tidak menafikan bahawa ulama mujtahid tidak melakukan kesilapan dalam berijtihad kerana mereka bukannya ma'sum. Walaubagaimanapun, di sebabkan kesilapan ini, mereka tetap diberi satu pahala sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Rasulullah. Kenyataan ini sangat jelas dan telah dipersetujui oleh semua pihak melainkan orang yang mengingkari hadith sahih. 

Adakah semua isi kandungan mazhab-mazhab itu benar?

     Terdapat dua pendapat dalam menjawab persoalan di atas. Pendapat pertama menjelaskan bahawa setiap ulama yang berijtihad dalam persoalan fiqh yang ketiadaan dalil Qati'e daripada nas atau ijma' semuanya benar. Ini adalah pendapat Abu Hasan Asyaari, Qadhi Abu Bakar al- Baqilani, Ibn Suraij dan kedua- dua murid Abu Hanifah iatu Abu Yusuf dan Muhammad. Manakala jumhur ulama' berpendapat bahawa mujtahid yang benar satu sahaja dan mujtahid inilah yang akan mendapat dua pahala. Sungguhpun begitu pendapat jumhur, namun hukum syara' yang dihasilkan dengan ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad kerana kedua- dua ijtihad itu adalah bersamaan sedangkan tidak ada yang memberatkan salah satu daripadanya. Lagi pula, sekiranya ijtihad pertama boleh dibatalkan dengan ijtihad kedua nescaya ijtihad kedua pun boleh dibatalkan dengan ijtihad ketiga(umpamanya) dan begitulah seterusnnya dengan tidak berkesudahan. Jika hal ini berlaku, maka institusi kehakiman tidak akan membawa apa- apa maslahah. Daripada huraian di atas, dapatlah difahami bahawa hukum yang dihasilkan oleh ijtihad boleh dibatalkan dengan nas atau qias jaliyy( yang terang)

Fidayah Sembahyang menurut perspektif ulama' fiqh

     Menurut pendapat mu'tamad dalam mazhab Syafie, tidak wajib dan tiada sah mengeluarkan fidayah sembahyang kerana tiada tuntutan dari Syara'. Manakala pendapat da'if dalam mazhab, dituntut mengeluarkan fidyah dengan enam syarat berikut;
  1. Hendaklah dikeluarkan oleh waris si mati
  2. Sesuatu yang dikeluarkan hendaklah bijirin yang memadai dijadikan zakat fitrah ditempat itu.
  3. Fidyah hendaklah diberikan kepada faqir atau miskin yang diharuskan mengambil zakat
  4. Berlafaz ijab dan qabul.
  5. Berlaku perpindahan( Qabadh) fidyah ke pihak yang menerima.
  6. Satu cupak untuk satu waktu.
        Menurut pendapat mu'tamad dalam mazhab Hanafi, wajib dikeluarkan fidyah sebanyak satu gantang Baghdad bagi setiap solat yang ditinggalkan oleh mayat sedangkan ia belum diqadhakan semasa hidupnya. Bagi mereka yang bermazhab Syafie diharuskan bertaqlid kepada pandapat tersebut dengan beberapa syarat berikut;
  • Jangan mentalfiqkan mazhab seperti mengeluarkan fidyah sembahyang dengan harga menurut mazhab Hanafi dan diberikan fidyah tersebut kepada orang miskin yang memiliki harta yang sampai nisab menurut mazhab Syafie.
  • Jangan qasad mengambil mudah supaya terlepas dari tanggungjawab syara'.
  • Mengi'ktiqadkan bahawa mazhab yang ditaqlidkan itu lebih kuat atau menyamai mazhabnya. 

    Bagaimana mengeluarkan fidyah menurut mazhab Hanafi?   

      Sebelum mengeluarkan fidyah sembahyang dan puasa, waris hendaklah mengira umur mayat dengan ditolak 12 tahun jika mayat lelaki dan 9 tahun jika mayat perempuan. Contohnya, Ahmad meninggal dunia dalam usia 60 tahun. 60 tahun ini termasuk umur Ahmad sebelum baligh. Oleh itu ia hendaklah ditolak sebanyak 12 tahun( 60-12= 48). Dalam contoh ini waris hendaklah membayar fidyah solat dan puasa untuk tempoh 48 tahun. Menurut mazhab Hanafi, tiap-tiap satu waktu solat diwajibkan satu gantang Baghdad dan begitu juga untuk satu hari puasa. Oleh itu, fidyah solat untuk;

     1)  satu hari ialah 6 gantang(solat witir wajib difidyahkan juga menurut Hanafi).
     2) sebulan;        30 hari x 6 gantang = 180 gantang. 
     3) setahun;        360 x 6 = 2160 gantang
     Fidyah puasa pula; 30 x 1 gantang = 30 gantang(sebulan Ramadhan)

    Fidyah solat untuk tempoh 48 tahun(contoh di atas) ialah; 2160 x 48 = 103680 gantang.
    Fidyah puasa untuk tempoh 48 tahun ialah; 30 x 48 = 1440 gantang

    (nota penting; memada dikeluarkan fidyah solat dengan harga menurut Hanafi)



    Lafaz Ijab; " Inilah fidyah solat si fulan anak si fulan aku berikan kepada mu"
    Lafaz Qabul(faqir); " Aku terima"


    bersambung lagi......

             

5 comments:

  1. assalamua'laikum ustaz...syukran d atas maklumat bermakna ini... izinkan ana copy utk rujukan bg assgment...

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Ustaz, izinkan saya share maklumat ini...

    terima kasih

    ReplyDelete
  3. entah pape..tolong nyatakan dalil yg menyatakan adanya fidyah solat ??? adapun pasal pendapat ianya boleh ditolak jika tiada sandaran dalil khusus mengenai hal ini.. jangan mencipta laluan agama sendiri...kembalilah kepada quran dan as sunnah sahihah

    ReplyDelete
    Replies
    1. syukran di atas peringatan anda saudara najdi abdullah

      Delete
  4. Satu gantang iru berapa kilo/ liter

    ReplyDelete