Monday, September 26, 2011

Di Mana Bidaahnya Tunggu Kubur Tujuh Hari?

 
 
    Amalan menunggu kubur bermaksud membaca al-Quran di kubur, bukanlah semata-mata menunggu simati di atas kuburnya dengan ketiadaan membaca apa-apa kerana hal ini tidak digalakkan sama sekali, lebih-lebih lagi jika dicampur aduk dengan percakapan kosong, gurau senda, berjenaka, menghisap rokok dan sebagainya. Oleh itu, isu yang kedua ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Persoalan yang  menjadi pertikaian ialah tentang hukum mengambil upah menunggu kubur dan sampai pahala bacaan orang hidup kepada simati. Sebelum menjawab persoalan ini, terlebih dahulu saya ingin mengemukakan pendapat ulama’ ahli Sunnah tentang hukum menunggu kubur.

   Dalam menjawab persoalan ini, seorang tokoh ulama’di Kelantan al-Marhum Tuan Guru Hj. Mat Pauh telah merujuk kepada fatwa Syeikh Husain Bin Ibrahim al-Maghribi (wafat 1292H), mantan Mufti Makkah. Tuan Guru itu membuat kesimpulan bahawa amalan menunggu kubur selama tujuh hari telah pun dikerjakan sejak zaman Sahabat lagi. Fatwa ini berlandaskan kepada sebuah athar daripada Tawus r.a(wafat 106H) beliau berkata;
                        كانوا يستحبون أن لا يتفرقوا عن الميت سبعة أيام                                                                                          Ertinya: “ Mereka kasih supaya tidak ditinggalkan si mati dalam tempoh   tujuh hari.”

  Imam Syafi‘i menjelaskan bahawa mereka pada perkataan Tawus  di atas merujuk kepada sahabat Nabi.              
   Manakala hadith“Jangan kamu duduk di atas kubur.” maka, dijawab sebagaimana berikut; 
a) Larangan duduk di atas kubur adalah berkaitan dengan larangan menyakiti simati seperti  berbual kosong, bersuka ria, membuang air besar atau air kecil di atas kubur. Berkata Abu Hurairah “Barangsiapa membuang air kecil atau air besar di atas kubur, maka seolah-olah dia duduk di atas bara api.” Berkata Imam Malik pula dalam kitab Muwatta’“ kami berpendapat larangan duduk di atas kubur itu ialah larangan daripada membuang air besar atau kecil.

Tersebut dalam Sahih al-Bukhari:
                          قال نافع: كان ابن عمر يجلس على القبور
     Ertinya:  Berkata Nafi’ “adalah Sayyidina Abdullah Ibn Umar duduk di atas kubur.” 
 b)  Berkata Imam Nawawi dalam kitab Azkarnya:
          “ Dan disunatkan duduk di sisi simati selepas ditanam dalam kubur sekadar masa yang telus bagi sembelihan unta dan diagih- agihkan dagingnya. Hendaklah orang-orang yang duduk itu membaca al-Quran, berdoa kepada simati,  nasihat menasihati dan bercerita tentang kelakuan orang-orang yang soleh. Kami telah meriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim daripada Sayyidina Ali, beliau berkata; "adalah kami di kubur Baqi’ al-Farqad, maka datang kepada kami Rasulullah, lalu baginda duduk bersama kami….”

Hukum Menerima Upah Menunggu Kubur
  Daripada huraian di atas, dapat difahami bahawa menerima upah menunggu kubur adalah diharuskan. Tidak ada keterangan dari al-Quran, al-hadith, Ijma’ ulama’ dan sebagainya yang melarang perbuatan tersebut. Dengan ini, kekal hukumnya sebagaimana asal iaitu diharuskan.
Sampai Pahala Bacaan Orang Hidup Kepada Simati Dan Mendapat Manfaat
   Syaikh Muhammad ‘Arabi al-Makki telah memfatwa bahawa pahala bacaan yang dihadiahkan oleh seseorang yang hidup sampai kepada si mati dengan Ijma’ ulama’ mazhab empat walaupun orang yang menghadiahkan pahala itu diupah menurut pendapat yang ditetapkan dengan dalil.
   Pihak lawan mungkin mendakwa “ulama’ salaf tidak pernah mengerjakan amalan ini.” Dakwaan ini ditolak sebagaimana berikut: 
a) Amalan ini telah dikerjakan sejak  zaman Imam Ahmad dan beliau sebahagian ulama’ salaf. 
b) Jika diandaikan ulama’ salaf tidak mengerjakannya, maka semata-mata tidak mengerjakannya itu tidak boleh menjadi hujah bahawa ianya dilarang.
 Pihak lawan mungkin bertanya“apakah dalil yang memerintahkan supaya dibacakan al-Quran untuk simati?”  Jawabnya; Tersebut dalam sebuah hadith yang di keluarkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud dan  Nasa’ei  bahawa Rasulullah bersabda;
                                          إقرءوا يس على موتاكم
Ertinya: “ Bacakanlah Surah Yasin ke atas orang mati dari kalangan kamu.”
    Berkata Imam al-Tabari ketika menjelaskan maksud “orang mati” dalam hadith ini;“dimaksudkan dengan “orang mati” ialah orang yang sudah keluar rohnya.”
    Dalam  hadith yang lain pula daripada Sayyidina Ali daripada Rasulullah, sabda Nabi s.a.w. “Barangsiapa mendekati perkuburan dan membaca قل هو الله sebelas kali, kemudian diberikan pahala bacaannya kepada kesemua ahli kubur nescaya dia diberikan pahala sebanyak ahli kubur itu.”  Hadith ini dikeluarkan oleh Abu Muhammad al-Samarqandi, Imam Rafie dan Dar al-Qutni.
     Syaikh al-Islam Zakaria al- Ansari berkata; mengupah baca al-Quran di atas kubur pada suatu masa yang diketahui atau kadar yang diketahui adalah diharuskan kerana mengambil manfaat dengan turun rahmat ketika al-Quran dibaca. Keharusan ini seperti keharusan menerima upah bagi azan dan mengajar al-Quran, samada diiringkan bacaan itu dengan doa atau dijadikan pahalanya bagi  simati atau tidak…”
   Imam al- Sayuti pula berkata; “Kebanyakan salaf dan Imam Tiga Mazhab berpendapat sampai pahala.” Berkata Syeikh al-Marghainani al-Hanafi “ harus bagi manusia  bahawa menjadikan pahala amalannya kepada orang lain menurut ahli sunnah..”  Syeikh al-Badr al-Aini al-Hanafi juga sependapat dengannya.
    Imam Sayuti berkata lagi; “ Sampai pahala tersebut diqiaskan dengan doa, sedekah, puasa, haji dan memerdekakan hamba…”
   Jika pihak lawan berkata; “ Telah masyhur daripada mazhab Syafie bahawa tidak sampai pahala bacaan al-Quran kepada simati…” Kenyataan ini dijawab oleh Syaikh al- Islam Zakaria al- Ansori, beliau berkata;
“ pendapat yang masyhur itu ditanggung ke atas bacaan yang tidak diiringi oleh doa atau tidak dibaca dihadapan orang mati sedangkan tidak diniatkan bacaan itu kepada simati..”

1 comment:

  1. Tq..ni bru first time aku tau bhw tgu kubur tue bleh.. tahniah kpd pnulis krna dpt mmbuktikan dan mmbwa bukti yg meyakinkan.. wat ever thank a lot....

    ReplyDelete