Tuesday, January 5, 2010

Biodata Ulama Kaum Muda di Kelantan



1. Mufti Kelantan Hj. Wan Musa Abdul Samad

Nama penuhnya ialah Haji Wan Musa b. Hj. Abdul Samad, lahir di Lorong Tok Semian, Kota Bharu pada tahun 1874. Hj. Wan Musa mendapat didikan agama daripada ayahndanya sendiri Hj. Abdul Samad atau dikenali sebagai Tuan Tabal. Selepas Tuan Tabal kembali ke Rahmatullah, beliau berhijrah ke Mekkah dan bermukim di sana selama lima tahun. Dalam tempoh itu, beliau banyak memberi tumpuan kepada pengajaran Syeikh Ahmad al- Fatani dan Syeikh Hasbullah al- Makki.

Berbeza dengan ulama’ ulama’ sezamannya, Hj. Wan Musa gemar membaca akhbar- akhbar dan majalah- majalah keluaran Kaum Muda seperti al- Manar dan al- Urwat al- Wuthqa. Selain itu, beliau juga pernah mengaju persoalan- persoalan tertentu berkaitan hukum fiqh kepada ulama’ sanjungannya Muhammad Rashid Redha melalui surat. Dari sinilah beliau mempunyai tanggapan bahawa demi untuk memajukan ilmu fiqh, pendekatan bertaqlid kepada kitab- kitab ulama’ silam di Kelantan perlu dihentikan. Hj. Wan Musa adalah seorang rakan seperguruan Tok Kenali, terkenal dengan fikiran-fikiran yang berani tetapi kontroversi. Namun, beliau terpilih dan ditawarkan jawatan Mufti Kerajaan Kelantan selepas pengunduran Mufti Haji Wan Ishak pada awal 1909.
Sikapnya yang tegas serta pandangan-pandangannya yang condong kepada reformasi telah menyeret beliau ke kancah pertelagahan pendapat dengan tokoh-tokoh "Kaum Tua" seperti Syeikh al- Islam Tengku Mahmud Zuhdi dan Hj. Ibrahim Tok Raja. Antara persoalan kontroversi yang berbangkit sehubungan dengan pendapat beliau ialah isu membina masjid dengan harta zakat fitrah, niat solat, talqin, pemindahan harta wakaf dan perbahasan jilatan anjing. Keyakinannya kepada pendapat-pendapat yang pernah diluahkannya serta pertelingkahannya yang lama dengan tokoh-tokoh "Kaum Tua" menyebabkan beliau melepaskan jawatan Mufti pada pertengahan 1916. Mufti Hj. Wan Musa kembali ke alam baka pada hari Sabtu 24 Zulkaedah 1357 bersamaan dengan 14 Januari 1939 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Banggol, Kota Bharu.

2. Dato’ Laksamana Hj. Mohammad Bin Hj. Mohd Said

Hj. Mohammad bin Khatib Hj. Mohd Said bin Hj. Jamaluddin dilahirkan di Kota Bharu pada 30 Januari 1888. Dato’ Laksamana mendapat pendidikan secara informal dari ayahndanya Khatib Hj. Said. Selain itu, beliau juga mendapat didikan agama dari Hj. Ismail Hj. Mahmud. Semasa di Mekkah beliau sempat berguru kepada Syeikh Ahmad al- Fatani, Syeikh Nik Mat Kechik al- Fatani dan Syeikh Wan Ali Kutan. Pada tahun 1906 beliau berangkat ke Universiti al- Azhar Kaherah. Sewaktu berada di Mesir selama enam tahun beliau memusatkan perhatiannya kepada politik Mesir dan menghayati semangat perjuangan Jamaluddin al- Afghani dan Muhammad Abduh.Setelah pulang ke Kelantan pada 1912, beliau melibat diri terus di dalam jentera pentadbiran Kelantan bagi memegang beberapa jawatan penting. Berikut adalah jawatan- jawatan yang pernah disandang oleh beliau;
• Setiausaha MAIAIK pada 7 Disember 1915.
• Penolong Setiausaha 2 kepada Sultan pada 1 Mac 1916.
• Kerani di Majlis Mesyuarat Negeri pada 1 Januari 1917
• Setiausaha Kerajaan Kelantan pada 12 September 1925.
• Ketua Pengarang Pengasuh yang pertama
Dalam kesibukannya memegang beberapa jawatan penting, beliau masih sempat menghasilkan beberapa buah karya. Di antaranya ialah al- Fawaid al- Jummah, al- Fawaid al- Syahiyyah dan al- Thamarat al- Muthola’ah. Dato’ Laksamana Hj. Mohammad b. Hj. Mohd. Said meninggal dunia pada 20 Mac 1939 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Banggol, Kota Bharu.

3. Hj. Nik Abdullah B. Hj. Wan Musa

Hj. Nik Abdullah dilahirkan pada tahun 1900 di Jalan Merbau, Kota Bharu. Pada peringkat awalnya, beliau telah dididik oleh ayahndanya Mufti Hj. Wan Musa dan bapa saudaranya Hj. Nik Wan Abdullah dalam ilmu Fiqh Syafi’eyyah, Usuluddin dan Tasawwuf. Di samping itu, untuk membolehkan beliau mendalami lagi ilmu Nahu dan Soraf, beliau belajar pula kepada Tok Kenali. Sekitar tahun 1920, beliau belajar kepada Tok Khurasan. Di sinilah beliau mempelajari Hadith, Tafsir, Fiqh Hanafiyah, Falak, Mantik, Falsafah dan Faraid. Di Mekkah, pada mulanya beliau belajar Fiqh dan Tasawwuf kepada Syeikh al- Maliki dan Abu al- Sama al- Zohiri. Beliau juga sempat belajar Hadith kepada Syeikh Umar Hamdan selama empat tahun. Namun, beliau tidak merasa suatu kepuasan yang muktamad dengan cara pengajaran gurunya itu kerana Syeikh Umar hanya sekadar menjelaskan pengertian Hadith- Hadith yang terdapat di dalam Sunan al- Sittah tanpa menerangkan metod- metod untuk menilaikan Hadith itu samada sahih atau daif.
Pada suatu ketika dalam tahun 1930, Hj. Nik Abdullah terlihat di Masjid al- Haram seorang guru bernama Maulana Ubaidillah al- Sindi sedang mengajar dua orang penuntut dari Indonesia. Maulana Ubaidillah al- Sindi ialah seorang ulama’ yang berautoriti dalam pengajaran Hadith menurut Tariq Syah Waliyullah al- Dehlawi. Oleh kerana tertarik dengan cara pengajarannya, maka Hj. Nik Abdullah belajar kepada Maulana tersebut selama tiga tahun. Kemudian, beliau digalakkan oleh gurunya itu supaya pergi ke Mesir. Di Mesir beliau berkesempatan bertemu mata dengan Sayyid Mohd. Rashid Redha. Selepas beberapa bulan di Mesir, Hj. Nik Abdullah kembali semula ke pangkuan guru yang disayanginya Maulana Ubaidillah untuk mempertajamkan lagi ilmunya. Pada bulan Oktober 1934, beliau pulang ke tanah airnya untuk menyebarkan pemikiran Syah Waliyullah al- Dehlawi kepada masyarakat tempatan. Beliau mahu menentang habis- habisan amalan bid’ah yang telah berakar umbi di kalangan masyarakat tempatan, mengajak mereka kembali kepada ajaran al- Quran dan al- Sunnah serta menyeru ulama’ supaya berijtihad. Untuk meneruskan hasrat ini, Hj. Nik Abdullah telah menubuhkan Madrasah al- Islah. Beliau juga bercita- cita menubuhkan sebuah balai kajian Islam untuk mengembangkan lagi pemikirannya, tetapi tidak kesampaian kerana beliau ditaqdirkan meninggal dunia dalam usia yang begitu muda iatu pada 24 Mei 1935.

4. Hj. Nik Mat Alim Pulau Melaka

Nama lengkapnya ialah Raja Muhammad bin Raja Banjar, dilahirkan pada tahun 1905 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu. Menyusuri latar belakang Raja Muhammad atau dikenali sebagai Hj. Nik Mat Alim, didapati bahawa beliau mempunyai susur galur keturunan Raja Jembal yang memerintah negeri Kelantan dalam kurun ke- 16. Oleh kerana ayahnya, Raja Banjar tidak mengambil perhatian yang berat terhadap pelajaran anak- anaknya, maka Hj. Nik Mat Alim telah mengambil daya usahanya sendiri untuk mendapatkan pelajaran agama daripada ulama- ulama tempatan diwaktu itu. Dengan usahanya sendiri, Hj. Nik Mat Alim mulai belajar di Pondok Hj. Omar Mentuan, kemudian melanjutkan pelajarannya ke pondok Tok Kenali yang paling terkenal dizamannya. Selepas mendapat didikan daripada al- Marhum Tok Kenali, beliau terus menyambung pelajarannya kepada Tok Khurasan dan Mufti Hj. Wan Musa. Selain Tok Khurasan dan Hj. Wan Musa, Hj. Nik Mat juga murid yang setia kepada Hj. Nik Abdullah b. Hj. Wan Musa.
Setelah mendekati ketiga- tiga ulama’ terkenal itu, beliau secara terbuka menentang amalan tunggu kubur, mengadakan kenduri kematian, membayar fidyah dan amalan- amala lain yang dianggap bid’ah. Suatu yang paling menarik dalam mengkaji riwayat Hj. Nik Mat Alim ialah kecenderungannya kepada ilmu tafsir al- Quran, ilmu Hadith dan Mantik. Kecenderungan beliau ini adalah berbeza dengan ulama’- ulama’ tempatan lain ketika itu yang lebih banyak bertumpu kepada ilmu fikah dan tauhid. Oleh itu, Hj. Nik Mat Alim boleh dikatakan mempunyai pandangan yang sama dengan ulama’- ulama’ Kaum Muda dizamannya tentang pelbagai masalah khilafiyyah yang menjadi pokok perbincangan di kalangan ulama’- ulama’ diwaktu itu. Hj. Nik Mat Alim menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Mac 1977 di rumahnya Kampung Pulau Melaka. Salah seorang anaknya yang mewarisi perjuangan beliau dalam menentang amalan bid’ ah ialah Hj. Nik Aziz Nik Mat.

1 comment: