Wednesday, October 19, 2011

Pengembaraan Seorang Tuan Guru



       Berkata al-marhum Tuan Guru Hj. Abdul Qader Sekam al-Fatani;


"Puak Kristian Najran dan puak al-Zahiriyyah berpegang kepada zahir Quran dan hadith. Mereka beri'tiqad Allah ada tangan, muka, mata dan lain-lainnya."
Sila rujuk tafsir Hasyiah Jamal dan Hasyiah Sowi.


        Saya berkata; Hakikatnya, penjelasan di atas tidak diendahkan oleh mereka yang keras hati atau keras dagu(degil) atau jahil murakkab(tidak mahu menerima kebenaran).Sesetengah mereka mungkin memperlekehkannya kerana ia adalah semata-mata kenyataan yang keluar daripada seorang guru pondok yang jumud, katak di bawah tempurung, mengajar kitab jawi,kitab klasik, kuno, usang, tidak belajar di Scotland, London, Jerman, tidak buat research, tidak ada sarjana, Phd. dan macam-macam lagi segala tohmahannya….sebenarnya, mereka telah lupa atau buat-buat lupa akan sabda Nabi bahawa ulama' itu warisnya.(( Apakah hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang menyakiti waris atau kerabat raja??inikan Nabi s.a.w)). 
    Disebabkan tohmahan itu, dalam entri kali ini, saya akan membuat perbezaan secara kasar pengembaraan ilmu di antara seorang yang bergelar Doktor Falsafah dan Tuan Guru. Terlebih dahulu saya ingin menegaskan bahawa dimaksudkan dengan seseorang yang bergelar Doktor Falsafah di sini ialah mereka yang tidak pernah bertalaqqi secara serius daripada para masyayikh. Adapun mereka yang pernah bertalaqqi seperti al-marhum Dr. Muhammad Alawi al-Maliki, Dr. Ali Jumaah dan lain-lain lagi tidak dimaksudkan di sini.
       Doktor Falsafah adalah gelaran tertinggi yang diberikan oleh insitut pengajian tinggi kepada mereka yang telah menyiapkan suatu penyelidikan dengan sempurna. Namun, untuk mendapat gelaran ini tidaklah susah sangat, malah orang yang bekerjaya pun ada peluang untuk meraihkannya. Huraiannya begini, katakanlah tempoh untuk mendapat Phd. ialah 10 tahun.(sarjana muda 4 tahun, sarjana 3 tahun dan Phd. 3 tahun). Itupun, jika tidak ditolak cuti umum, cuti perayaan, study week, cuti semester dan lain-lain lagi. Kalau begitu, tempoh 4 tahun untuk mendapat sarjana muda mungkin dapat disingkatkan menjadi 2 tahun atau kurang. Pada peringkat sarjana pula pelajar boleh memilih samada mengikuti mode kursus + disertasi atau mode disertasi sahaja(tak payah hadir kursus), sementara pada peringkat Phd. biasanya pelajar ditawarkan satu mode sahaja iaitu mode penyelidikan. Ringkasnya, boleh dikatakan pelajar tidak perlu hadir kelas atau kuliyah pada peringkat ini, malah mereka boleh bekerja sambil belajar (bukan belajar sambil bekerja). Dengan ini, timbul satu persoalan iaitu apakah ilmu yang diperolehi oleh mereka, sedangkan mereka tidak menghadiri kuliah?Adakah mereka mempelajari Sunan Sittah dan tafsir-tafsir al-Quran secara serius?


Jawabnya;
1-mungkin tiada apa-apa yang mereka dapat kecuali ijazah sahaja kerana mereka mengupah orang lain untuk menyiapkan tesisnya.
2- mungkin tiada apa-apa yang mereka dapat kecuali ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan metodologi kajian sahaja .(ilmu metodolgi kajian boleh diperolehi melalui pembacaan dan sedikit tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman)
3-mungkin mereka mendapat ilmu yang dikaji sahaja.


    Hal ini berbeza dengan pengembaraan ilmu seseorang ulama' yang bergelar tuan guru, syeikh atau kiyai. Hakikatnya, gelaran tuan guru hanya akan melekat di badan setelah dia berbakti kepada masyarakat Islam dengan cara mengajar ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya . Itulah sanjungan yang tinggi diberikan oleh masyarakat Islam kepada yang berjasa walaupun mereka tidak mengharapkannya. Dalam menuntut ilmu yang manfaat, hati mesti ikhlas disamping hemah yang tinggi, kesabaran, ketajaman akal fikiran, mengamalkan adab-adab bersama guru dll. Beberapa matan perlu dihafal seperti matan Ajrumiyyah(nahu), matan al-Bina'(saraf), matan Alfiyyah(nahu),matan al-Qatr(nahu),matan Izzi(saraf),matan Baiquniyyah(mustalah hadith),matan Mutamimmah(nahu),matan Zubad(fiqh),matan Jauharah(usuluddin),matan Ummu al-Barahin(usuluddin),matan Sullam(mantiq)matan al-Faraid al-Bahiyyah(qawaid fiqh), matan al-Waraqat(usul fiqh), matan Maqulat(maqulat),matan Tuhfat al-Ikhwan(balaghah) dll. Kemudian perlu bertalaqqi(guru membaca dan menghurai teks pengajaran )dari sekecil-kecil kitab sehinggalah kitab yang tebal-tebal seperti Fath al-Qarib ,Ianah Tolibin, Iqna',Tahrir, Fath al-Wahhab, Mughni al-Muhtaj dan Syarah al-Mahalli(semuanya fiqh Syafie),tafsir al-Jalalain, tafsir al-Nasafi, tafsir al-Baidhowi, Sunan Sittah, Muwatta, syarah Ibn Aqil, syarah al-Asymuni, syarah al-Fakihi, Syuzur al-Zahabi, Taftazani,hasyiah Dasuki, hasyiah Syarqawi ala Hudhud, Aqaid Nasafiyyah, Tarikh Khulafa', Ibn Khaldun, falak, Syinsyauri(faraid), Rafu'l Astar, Iklil,Nail al-Muram, syarah Hikam, Ihya' Ulumuddin, Minhaj Abidin, Isqat Tadbir, Iqaz Hammam dll. Tempoh untuk mengkhatam sesebuah judul kitab pula bergantung kepada tebal dan nipisnya. Syeikh Abdul Qader al-Mandili pernah mengajar Fath al-Wahhab(fiqh) bermula 4 Rabiu Awwal 1360H dan khatam pada tahun 1369H. Masyallah..ini memerlukan komitmen yang tinggi. إعملوا فكل ميسر لما خلق له
        Selain itu, jadual belajar yang padat menyebabkan kebanyakan mereka tidak dapat bekerja sambilan untuk menyara diri dan membeli kitab-kitab.(( Para mahasiswa tidak perlu memerah otak untuk semua ini kerana mereka ada JPA dan PTPTN)). Jadual belajar dimulai selepas solat Subuh sehingga jam 9 pagi. Kemudian disambung pula pukul 10 pagi-12 tengahari. Selesai solat Zuhur, Tuan Guru mengajar kitab Hikam, malam menadah tafsir Jalalain, Syamayil Muhammadiyah dan lain-lain sehingga 12 malam. Memang padat jadualnya, kadang-kadang tidak sempat memasak dan membaiki atap pondok yang bocor. ((Mahasiswa tak perlu fikirkan semua ini)).
   Inilah sebahagian mujahadah yang perlu dipratikkan oleh seseorang yang bergelar tuan guru dan hakikatnya ada hikmah dan rahsia disebaliknya. (من لم يذق لم يدر ) Oleh itu, sesiapa yang bergelar atau akan bergelar Dr. Falsafah(termasuk saya)janganlah memperlekeh ulama' pewaris Nabi.



والسلام على من اتبع الهدى



No comments:

Post a Comment