Wednesday, April 4, 2012

al-Allamah Syeikh Muhammad Din al-Besuti

Saya masih ingat lagi  al-Marhum Tuan Guru Hj. Abd. Rasyid Carak Kerian, al-Fatani berkata; " Tuan Guru Mohd Din Besut lebih alim feqh daripada Syeikh Abd. Qadir al-Mandili."  Maka, sejak itu saya tertanya-tanya siapakah sebenarnya diri Tok Guru Hj. Din Besut yang dikatakan alim Empat Mazhab ini?

Puas saya search maklumat tentang dirinya melalui internet, namun tidak berhasil juga dan di sini timbul sedikit penyesalan dalam hati saya kerana tidak memanjangkan perkara ini kepada al-Marhum Tuan Guru semasa hayatnya dahulu. Kesukaran untuk mendapat maklumat tarajumnya adalah disebabkan nama Tok Guru Din Besut tidak semasyhur nama Syeikh Qadir al-Mandili yang mempunyai ramai murid itu. Barangkali ketika nama Syeikh Qadir sedang timbul(tahun 40an-60an), Tok Guru Din Besut sudah berusia lanjut( kembali ke rahmat Allah dalam usia 130 tahun menurut satu riwayat) atau kerana beliau tidak mengajar Masjid al-Haram. Akan tetapi, beberapa ulama besar sudah dikenal pasti sebagai  anak muridnya iaitu Hj. Abdullah Awang Besar(Kedah?), Hj. Husein Telok Merbok, Kekabu, Yala, dan Hj.Abd. Rasyid Carak Kerian. Tidak seperti Syeikh Qadir al-Mandili, Tok Guru Hj. Din Besut telah ditakdirkan Allah  untuk pulang dan mengajar di Tanah Jawi, tetapi tidak di tempat asalnya malah di sebuah daerah yang bernama Kekabu, Yala iaitu berhampiran dengan muridnya Hj. Husain Kekabu itu. Sebab-sebab beliau memilih daerah tersebut belum diketahui dengan jelas. Cuma, ibu saudara saya(isteri Tuan Guru Hj. Husain Kekabu) pernah menceritakan kepada saya bahawa Tok Guru Din mengasaskan pondoknya di Kekabu kerana ingin tinggal berhampiran dengan zuriat  Hj. Abd. Rahman Faqir, sahabatnya ketika belajar di Kelantan suatu ketika dahulu. Ibu saudara ini dan ibu saya sendiri adalah cicit kepada Hj. Abd. Rahman Faqir(meninggal sekitar 1920an).
     
           Setakat yang saya ketahui, Tok Guru Din Besut tidak menghasilkan karya yang berupa kitab besar. Walaubagaimanapun, beliau sempat menulis empat buah risalah dan kesemuanya telah dicetak bersama di Matbaah Fatani Press(1384H). Risalah pertama tentang hukum penyusuan, kedua tentang fidyah sembahyang dan puasa menurut mazhab Hanafi(selesai 1378H), ketiga berkaitan keharusan mengamal Qaul Qadim dalam persoalan bilangan jamaah solat Jumaat dan risalah terakhir tentang berbilang-bilang Jumaat. Di halaman pertama cetakan ini dimuatkan taqriz daripada Syeikh Daud B. Sulaiman al-Kalantani dan cukuplah dengan gelaran yang diberikan olehnya kepada tuan pengarang dengan katanya; " saya telah menatap sesetengah karangan Sohibul Fadhilat al-Alim al-Allamah Syeikh Muhammad Din B. Hj. Yusuf al-Besuti al-Malayuwiyy......."al-Fatihah
      

1 comment: