Monday, September 26, 2011

Hukum lelaki memakai cincin suasa




      Setakat yang saya ketahui, ada sebuah kitab jawi sahaja yang menyatakan dengan jelas akan halalnya makan belut. Kitab tersebut ialah Sabila al-Muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Persoalan belut saya tidak akan panjangkan di sini kerana tidak ada orang-orang Islam khususnya yang berbangsa Melayu mempertikaikan kehalalannya.

       Pada kali ini saya akan selesaikan satu isu yang agak popular di kalangan masyarakat kita iaitu hukum cincin suasa. Ada sesetengah pihak berpendapat tidak haram lelaki memakainya dan satu pihak yang lain pula berpendapat haram. Maka tidak hairan lah jika didapati sesetengah lebai dan ustaz  memakai cincin suasa. Barangkalinya mereka bertaqlid kepada pendapat pertama. Oleh kerana para lebai dan ustaz ini ada ilmu, mereka berhujah; tidak ada nas yang jelas menunjukkan haram lelaki memakai cincin suasa.
      Pada pendapat saya, senario ini berlaku kerana persoalan cincin suasa ini hampir tidak pernah dibincangkan secara terus terang dalam kitab-kitab fiqh jawi. Setahu saya, ada sebuah kitab sahaja yang menjelaskan isu ini dengan panjang lebar iaitu Pelita Penuntut, karya Syeikh Muhammad Syafie al-Fatani. Oleh itu,  saya jadikan karya tersebut sebagai rujukan utama dalam menyempurnakan tulisan ini.

Apakah sebenarnya hakikat suasa?
   Suasa ialah emas yang dicampurkan dengan tembaga dan sebagainya. Pendeknya, suasa ialah emas yang dicampur. Jika perak yang dicampurkan dengan tembaga atau besi, maka bukan suasa. Itulah  mafhumnya.

Dalil-dalil yang menjelaskan keharaman emas ke atas lelaki:  


1)  Berkata Sayyidina Ali; “aku melihat Rasulullah mengambil sutera lalu meletakkannya di tangan kanan dan mengambil emas lalu meletakkannya di tangan kiri, kemudian Rasulullah bersabda;           إن هذين حرام على ذكور أمتى                     
Ertinya; “sesungguhnya dua ini(sutera dan emas) haram ke atas laki-laki umatku.” Riwayat Abu Dawud dan al-Nasaei.


2) Sabda Nabi;           أُحل الذهب والحريرلأناث أمتى وحرم على ذكور أمتى
Ertinya; “dihalalkan emas dan sutera bagi perempuan umatku dan diharamkan ke atas laki-laki umatku.”Riwayat Imam Ahmad. Berkata Imam Tirmizi; “ hadis hasan sahih.” 


3) Di riwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah melihat suatu cincin emas ditangan seorang lelaki lalu dicabutkannya dan dilempar. Rasulullah bersabda;  
                                   يعمد أحدكم إلى جمرة من نار
Ertinya; “Salah seorang dari kalangan kamu sengaja kepada satu bara api neraka.”Riwayat Muslim.

Apa kata para Fuqaha’?
     
    1) Berkata al-Ustaz Muhammad Mustafa Ammarah ketika menghuraikan kitab Targhib Dan  Tarhib(m/s 385 j:3)
           ويحرم على الرجال لبس الحرير والتختم بالذهب ويحل للنساء ويسير الذهب وكثيره سواء
Ertinya: “dan haram ke atas laki-laki memakai sutera dan bercincin emas dan halal bagi perempuan. Dan sedikit emas dan banyaknya sama sahaja.”

       2) Berkata al-Qadhi Abu Syuja'; وقليل الذهب وكثيره فى التحريم سواء
Ertinya; "  dan sedikit emas atau banyaknya sama sahaja dari sudut haramnya''

    3) Menurut pengarang Pelita Penuntut, banyak lagi perkataan para ulama' yang menjelaskan keharaman emas ke atas laki-laki dan tiada seorang pun daripada mereka menyatakan haram emas ke atas laki-laki dengan syarat ia tidak bercampur dengan tembaga dll, malah mereka memutlakkan(إطلاق ) keharamannya. Apabila digabungkan perkataan-perkataan fuqaha' tersebut, maka seolah-seolah mereka berkata; "   haram emas ke atas laki-laki samada emas bersih atau bercampur seperti suasa". 

      4) Berkata Syeikh Ahmad Khatib; "  (Adapun suasa) maka tiada harus memakainya samada sedikit emasnya atau banyaknya kerana orang yang memakainya dipanggil memakai emas yang bercampur, sedangkan memakai emas itu haram secara nutlak samada emas bersih atau bercampur."  

     Menurut Syeikh Muhammad Syafie al-Fatani lagi, keharaman suasa dapat difahami juga melalui hukum saduran yang banyak diperkatakan dalam kitab-kitab fiqh. Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan suasa yang dipakai itu boleh dikeluarkan emas daripada campurannya kerana sekurang-kurangnya tukang emas menggunakan 50% emas untuk dicampur dengan logam yang lain untuk menghasilkan suasa yang bermutu. Jika 1/3 adalah emas dan 2/3 adalah logam lain, maka perhiasan tersebut akan berkarat sebagaimana yang dimaklumkan tukang emas yang thiqah kepada beliau. Tambahan pula, para fuqaha' telah mengilatkan pengharaman bekas-bekas yang diperbuat dan disadur daripada emas atau perak dengan takabbur, ain emas dan memecahkan hati orang miskin iaitu hukumnya haram. Ketiga-tiga ilat ini sudah tentu wujud pada suasa.


       

3 comments:

  1. alhamdulillah...syukran atas maklumat ini, skarang barulah ana mendapat penjelasan yg meyakinkan...

    ReplyDelete
  2. Yah cincin swasa gw 11 gram huhuhu... harom dah... padahal ustad gw yg suruh bikin cincin swasa katenya ga harom kampret...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Ustaz,

    saya ingin bertanya samada lelaki boleh memakai jam tangan yang diperbuat daripada rose gold? mohon pencerahan. Terima kasih

    ReplyDelete